PERMOHONAN DALAM USUL CAWANGAN DUN TANJONG SEPAT 2006
Permohonan dalam usul cawangan DUN Tanjong Sepat

Cawangan Sungai Kelambu Barat
Permohonan: Projek jalan penghubung Kampung Sungai Kelambu ke Genting Sanyen melalui Bandar Seri Ehsan. Jalan ini amat diperlukan untuk pemangkin pembangunan Kampung Sungai Kelambu

Pembinaan Dewan Orang Ramai (Dewan Besar). Dewan yang sedia ada sudah tidak dapat menampung sebarang perhimpunan yang akan terus menerus diadakan di Kampung Sungai Kelambu

Usul ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas siapnya Masjid Baru Kampung Sungai Kelambu RM3 juta yang menjadi usaha perjuangan UMNO/JKKK dan lain-lain selama ini.

Usul agar proses kemasukan ahli baru cawangan, wanita, pemuda dan puteri UMNO dipermudahkan dan dipercepatkan untuk menggalakkan lebih ramai ahli-ahli baru khususnya Pemuda dan Puteri.

Cawangan Hulu Teris
Permohonan: Pembinaan Jalan dari Kampung Hulu Teris ke Bandar Baru Salak Tinggi kerana penduduk sekitar Banghuris dan juga kampung berdekatan seperti Kg Tembok, Kg Tanjong Sepat, Kg Kundang, Kg Batu Laut menggunakan jalan rentas untuk ke tempat kerja di Pejabat Daerah dan KLIA, kerana ianya lebih dekat berbanding jalan luar. Kami sering mengalami kesulitan kerana terpaksa melalui jalan rentas tanah merah ini yang keadaannya tidak selesa dan hanya boleh dilalui dengan motosikal sahaja.

Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila hujan yang mana jalan akan menjadi lebih licin dan becak serta lebih menyulitkan penduduk. Dalam lawatan pertama YB Dato’ Ir. Mohd Zin Mohamed ke Kg Hulu Teris beliau telah memberikan harapan kepada penduduk khasnya kampung-kampung yang berhampiran untuk membina jalan tersebut dengan segera. Melalui persidangan cawangan ini, UMNO Kg Hulu Teris mewakili penduduk Kg Hulu Teris dan kampung berhampiran mendesak supaya jalan rentas yang amat penting bagi kami segera dibina.

Melebar dan menurap semula jalan-jalan utama Kampung Hulu Teris kerana adanya Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menjadi tumpuan orang luar untuk berkunjung ke tempat tersebut. Melalui Persidangan UMNO Kg Hulu Teris kami mendesak kepada pihak JKR Negeri Selangor supaya dapat melebarkan jalan tersebut dengan segera.

Membina bangunan rumah kedai empat pintu dan padang permainan serbaguna, memandangkan pembangunan kampung Hulu Teris agak ketinggalan berbanding kampung berhampiran, kami UMNO Kg Hulu Teris mendesak kepada pejabat Pembangunan Daerah supaya dapat memberikan peruntukan bagi melaksanakan projek diatas.

Cawangan Jalan Pengkalan Manggis
Permohonan : Memohon penempatan di Sungai Sepang Kecil. Perkara ini telah dikemukakan pada Mesyuarat Agung 2004 oleh Ketua Cawangan.

Memohon agar YB Tuan Haji Suhaimi terus memajukan perkara ini sehingga berjaya.

Meminta YB bersama-sama cawangan agar dapat membanteras penternakan khinzir di Tanjong Sepat dan kawasan sekitarnya.

Tahniah kepada YB kerana dilantik menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pinjaman buku teks bagi Sekolah Agama Bukit Bangkong.

Projek pembesaran kampung

Minta dimajukan Pantai Batu Laut

Permohonan rumah PPRT

Cawangan Tanjong Sepat Darat( Timur)
Permohonan : Pengeluaran tanah pembesaran kampung: Memohon supaya pihak berkenaan dapat mempercepatkan proses pengeluaran tanah tersebut bagi membolehkan ahli yang belum pernah mendapat tanah anugerah kerajaan agar dapat memiliki tanah sendiri.

Menggesa pihak Ahli Jawatankuasa Pemilihan Penerima Tanah Pembesaran Kampung Tanjong Sepat agar menyenaraikan semua nama-nama ahli cawangan ini yang layak menerima pengagihan tanah tersebut.

Menggesa pihak yang berkenaan supaya senarai nama yang terpilih adalah 100 peratus penduduk Kampung Tanjung Sepat.

Penempatan pusat ternakan khinzir di kawasan Tumbuk, DUN Tanjong Sepat
Mengusulkan agar bantahan sekerasnya dibuat secara berterusan bagi mendesak pihak bertanggungjawab supaya penempatan pusat ternakan khinzir di kawasan Tumbuk tersebut tidak dilaksanakan.

Cawangan Bukit Bangkong (Asli)
Mempercepatkan kelulusan permohonan pembinaan jalan, menurap semula jalan dan parit dari jenis u-drain. Memohon supaya pihak berkenaan memberi tanah anugerah kerajaan kepada ahli, memandangkan ramai ahli yang masih belum ada tanah serta tidak mampu memiliki tanah.

Memohon pihak tertentu (PLB, JKR dan lain-lain) memberi keutamaan kepada kontraktor orang asli terhadap kerja-kerja di Kampung Bukit Bangkong Asli.

Memohon sumbangan Tabung Pendidikan Cawangan berjumlah RM10,000.

Memohon 5 buah komputer untuk aktiviti celik IT

Menggesa pihak berkenaan mempercepatkan peruntukan untuk baik pulih balai raya serta menyambung bangunan.

Memohon agar Pemuda diberikan 10 ekor lembu untuk ternakan.

Memohon jersi bola sepak serta tiang gol

Memohon lawatan Pemuda Cawangan Bukit Bangkong Asli.

Pembesaran kampung di tanah Sungai Belangkan

Tidak pernah menerima peruntukan setelah 16 tahun UMNO Cawangan ditubuhkan.

Cawangan Tanjong Layang
Usul Pembangunan: Di kawasan ini khususnya di Tanjung Layang tidak mempunyai kemudahan awam seperti balai raya atau dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat setempat dan mendesak agar UMNO Bahagian membawa masalah ini ke pihak yang bertanggungjawab. Setelah sekian lama tiada kemudahan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan beberapa majlis contohnya mesyuarat agung dan sebagainya.

Mendesak serta memohon kepada pihak-pihak yang berwajib agar membaik pulih surau di Kampung Tanjong Layang ini memandangkan keadaannya yang telah uzur dan tidak susuai untuk menampung ahli jemaah untuk menunaikan solat dan sebagainya memohon bantuan agar permohonan membaik pulih surau di kampung ini dengan segera.

Memohon YB ADUN Kawasan Tanjong Sepat agar membuat satu kompleks sukan di DUN ini agar segala aktiviti sukan di bandar-bandar serta pembinaan gelanggang futsal dan sebagainya untuk memenuhi keperluan para belia tempatan khususnya di kawasan DUN Tanjong Sepat.

Usul Pencemaran Alam
Semenjak akhir-akhir ini keadaan kami khususnya di Kampung Tanjung Layang ini tidak lagi aman dengan isu-isu ternakan khinzir yang semakin berleluasa tanpa kawalan daripada pihak yang berwajib. Mendesak kerajaan agar menghentikan atau memindahkan ternakan khinzir ini dari kampung khususnya di DUN Tanjung Sepat ini agar tiada lagi berlakunya pencemaran alam. Pencemaran demi pencemaran termasuk pencemaran air laut dan sungai, pencemaran bau busuk najis khinzir yang memenuhi longkang dan parit kediaman penduduk serta kemusnahan habitat alam di pesisiran pantai Tanjong Layang ini memburukkan lagi keadaan di kampung ini. Oleh itu, pihak yang berwajib harus peka dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Cawangan Batu Laut
Usul Ekonomi
Mendesak pucuk pimpinan UMNO Bahagian Sepang khususnya melalui ketua UMNO bahagian sendiri yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia untuk menjadikan kawasan Sepang sebagai kawasan industri tanpa memusnahkan kehidupan alam sekitar. Matlamat ini hampir menjadi kenyataan dengan pembangunan yang pesat kawasan industri seperti di DUN Dengkil dan DUN Sungai Pelek tetapi keadaan ini tidak berlaku di DUN Tanjong Sepat. Maka ramailah penduduk di DUN Tanjung Sepat iaitu di Kampung Endah, Batu Lau, Kundang, Tanjong Sepat Darat, Tumbuk hinggalah ke Sungai Rawang dan Bukit Bangkong, menjadikan kawasan industri di DUN Dengkil dan DUN Sungai Pelek bahkan ke Nilai sebagai kawasan punca pendapatan.

Ini mengakibatkan kos pengangkutan yang tinggi serta peratus berlakunya kadar kemalangan yang tinggi. Oleh itu, kami mendesak pucuk pimpinan UMNO Bahagian Sepang dalam masa yang sama menduduki Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Daerah Kuala Langat kerana dari segi penempatan daerah, 90 peratus kampung-kampung di DUN Tanjong Sepat ini terletak di Daerah Kuala Langat dan dalam masa yang sama juga menjadi Ahli Majlis Perbandaran Sepang, kerana dari segi politiknya 100 peratus DUN ini terletak di Parlimen Sepang untuk menjadikan:

Kawasan DUN Tanjung Sepang ini sebagai kawasan industri walaupun matlamat ini hanya boleh kami suarakan melalui suara UMNO tetapi sukar untuk dilaksanakan kerana memerlukan sumber kewangan yang besar hingga berbilion ringgit, tetapi kami percaya UMNO Bahagian Sepang boleh mendesak kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan agensi swasta yang mana ramai pemimpin UMNO Bahagian Sepang sendiri yang memegang saham yang tinggi serta menjadi pengarah kepada agensi swasta yang besar seperti CNI Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Lebar Daun Berhad, Gamuda Berhad dan Gold Coast Berhad sendiri yang sedang rancak membangunkan pantai Bagan Lalang hingga ke Tumbuk untuk membeli kawasan estet di DUN Tanjong Sepat yang hendak dijual seperti kawasan estet Dato Hormat di Batu Untung atau estet kepunyaan Maika Holdings di Tumbuk yang dimiliki oleh MIC dengan kerajaan negeri boleh mengenakan kadar premium yang murah.

Dengan ini, kami percaya ramai pengundi-pengundi di kalangan belia khususnya dari Dun Tanjong Sepat ini tidak bekerja di luar kawasan, sebaliknya akan berbakti di kawasan industri DUN Tanjong Sepat kelak, secara automatik kekuatan UMNO Bahagian semakin mantap dan kuat kerana sumbangan UMNO Bahagian Sepang di dalam dunia penerokaan industri bagi DUN Tanjong Sepat.

Usul Kesetiaan kepada pucuk pimpinan UMNO Cawangan
Berasa gembira dengan suasana kekeluargaan di dalam UMNO Cawangan Batu Laut dari zaman penubuhan sulungnya yang mendahului cawangan lain di kampung ini iaitu dari tahun 1946 hinggalah kini. Oleh itu, marilah kita memberi semangat kekeluargaan UMNO kepada pucuk pimpinan UMNO cawangan di bawah pimpinan YBhg Tuan Haji Masdan bin Haji Sulaiman dan AJKnya. Bagi ahli-ahli pula jangan khuatir dan gusar, berilah kerjasama kepada AJK induk sebagai AJK pecahan untuk sama-sama menyumbangkan sumbangan idea, fizikal dan semangat kepada UMNO Cawangan Batu Laut.

Cawangan Kampung Tumbok Darat
Tanah bekas loji dan tanah tapak Desa Harapan diagihkan dengan kadar segera kepada ahli-ahli cawangan untuk tujuan penambahan penduduk memandangkan masih ramai ahli cawangan ini yang masih belum mempunyai tanah.

Memohon diluluskan permohonan tanah seluas 100 ekar di kawasan belakang kampung ini bagi tujuan aktiviti pertanian dan penternakan.

Memohon supaya penternakan khinzir dipindahkan dengan kadar segera kerana kawasan yang sepatutnya boleh dibangunkan sebagai tempat pelancongan dan pembangunan telah terganggu akibat daripada penternakan tersebut. Kegiatan penternakan khinzir ini hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja dan tidak dapat menyumbang kebaikan terutamanya bagi penduduk yang beragama Islam.

Memohon jasa baik YB samada DUN mahupun Parlimen, agar kerap turun padang menjenguk pengundi dan mengambil tahu masalah penduduk.

Memandangkan mata pelajaran Bahasa Inggeris dianggap menjadi bahasa ilmu dan diaplikasikan ke mata pelajaran Matematik dan Sains maka adalah wajar UMNO Cawangan memohon Guru Tuisyen mata pelajaran tersebut daripada UMNO Bahagian.

Cawangan Kundang Timur
Mendesak kerajaan pusat atau kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan serta mana-mana pihak berkuasa tempatan menyemak kembali dan memastikan semua kelulusan tanah di Darat Kampung Kundang.

Mendesak supaya kerajaan pusat dan negeri tidak meluluskan permohonan tanah kepada satu-satu pihak atau badan-badan Ngo’s dengan kadar keluasan yang terlalu besar/luas serta tidak berunsur kepentingan diri.

Mendesak Jabatan Pertanian dan Industri Asas Tani meneruskan kerja-kerja penyusunan semula tapak pertanian di Darat Kampung Kundang mengikut peraturan yang ditetapkan, tegas dan telus.

Mendesak Jabatan Pertanian dan Industri Asas Tani bersama JKKK perlu berganding bahu serta bekerjsama bagi memastikan supaya tidak ada mereka (petani) mengerjakan tapak pertanian terlalu luas.

Mendesak kerajaan negeri dan pejabat tanah daerah dapat meluluskan/menyokong permohonan kami bagi tujuan pembesaran kampung

Mendesak Jabatan Pertanian dan Industri Asas Tani agar kerap membuat pemantauan dan tidak terlalu mengikut telunjuk pihak-pihak tertentu.

Cawangan Sungai Rawang
Pembinaan Jalan dari Bukit Bangkong ke Bandar Baru Salak Tinggi kerana penduduk sekitar Banhuris dan juga kampung berdekatan seperti Kg Tembok, Kg Tanjong Sepat, Kg Kundang, Kg Batu Laut menggunakan jalan rentas untuk ke tempat kerja di pejabat daerah dan KLIA kerana ianya lebih dekat berbanding jalan luar. Kami sering mengalami kesulitan kerana terpaksa melalui jalan rentas tanah merah yang keadaanya tidak selesa yang hanya boleh dilalui dengan motosikal sahaja. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila hujan yang mana ianya akan menjadi licin dan becak serta akan menyulitkan penduduk. Dalam lawatan pertama YB Ir. Mohd Zin Mohamed ke Kg Hulu Teris, beliau telah memberikan harapan kepada penduduk khasnya kampung-kampung yang berhampiran untuk membina jalan tersebut dengan segera. Melalui persidangan cawangan UMNO Kg Hulu Teris mewakili penduduk Kg Hulu Teris dan kampung berhampiran mendesak supaya jalan rentas yang amat penting bagi kami agar segera dibina.

Melebarkan jalan masuk dari Pengkalan Manggis ke Simpang Jalan Pusara, sepanjang 2 kilometer kerana agak sempit sedangkan jalan dari Simpang Jalan Pusara telah lama dilebarkan sehingga ke Hulu Chuchuh. UMNO Cawangan yang bersidang hari ini mendesak kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor supaya dapat melebarkan jalan simpang masuk dari Pengkalan Manggis ke Simpang Jalan Pusar dan Pinang Muda dan Kampung Bukit Bangong sepanjang 2 kilometer.

Perluasan kampung Bukit Bangkong memandangkan penduduk mendesak ramai di kalangan generasi muda yang telah berumah tangga tidak mempunyai rumah dan tidak mempunyai tanah untuk tapak rumah. Untuk mencari jalan keluar mereka terpaksa menyewa atau menumpang bersama orang tua mereka dan ada yang membeli rumah yang kosnya terlalu tinggi dari kemampuan. UMNO Cawangan Sungai Rawang yang bersidang pada malam ini mendesak kerajaan Negeri Selangor supaya mengadakan projek meluaskan kampung untuk memenuhi keperluan tersebut. UMNO Cawangan Sungai Rawang mencadangkan kawasan yan sesuai bagi projek ini ialah Ladang Sungai Rawang kerana ianya bersebelahan dengan kampung ini.

Membina bangunan 2 tingkat untuk pejabat pentadbiran, bilik dan bilik komputer.
Dalam keadaan Masjid Al-Ulum Kampung Bukit Bangkong tersergam indah dan boleh memuatkan ahli jemaah seramai 1000 orang tetapi masih ada kekurangan yang sangat diperlukan oleh pentadbiran masjid tersebut iaitu bilik pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat dan bilik komputer serta lain-lain peralatan. Permohonan jawatankuasa masjid telah diajukan dalam masa 4 tahun yang lalu tetapi tidak ada tindakan yagn dilakukan.

Menaik taraf padang Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, memandangkan keadaan padang Sekolah Kebangsan Sungai Rawang tidak berkualiti, lekuk di sana sini dan sesetengah kawasan tidak berumput dan tidak selesa untuk penggunanya. UMNO Cawangan Sungai Rawang yang bersidang ini mendesak kepada Pejabat Pembangunan Daerah Sepang supaya dapat membaik pulih padang tersebut.
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Pautan Sepang
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Kerajaan Tempatan
Badan Berkanun Negeri
Agensi Kerajaan Negeri
Pejabat Daerah & Tanah
Kolej dan Universiti di Selangor
Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Pentadbir
    BLOGGER